Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah menganjurkan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Pelabuhan (Port Consultative Committee) SPPP Bil. 1/2021 bertempat di The Light Hotel, Seberang Jaya, Pulau Pinang. Jawatankuasa Perunding Pelabuhan SPPP terdiri daripada 17 ahli yang dilantik oleh YB. Menteri Pengangkutan Malaysia merangkumi wakil-wakil Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri dan dari persatuan, pertubuhan yang berkepentingan dengan industri logistik Pelabuhan Pulau Pinang. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Y Bhg. Datuk Tan Teik Cheng, Pengerusi SPPP. Turut hadir sama di mesyuarat tersebut ialah Pengurus Besar SPPP, Puan Monaliza binti Suhaimi dan pegawai-pegawai kanan SPPP.
Antara fungsi utama Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Pelabuhan SPPP ini adalah membincangkan isu-isu pelabuhan khususnya berkaitan perubahan ke atas caj-caj yang ditetapkan SPPP, perkembangan atau pembangunan pelabuhan terkini serta lain-lain perkara yang boleh menjejaskan industri logistik.