soalan lazim2| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

Skala Kadar, Dius Dan Caj

TAFSIRAN

“barangan berbahaya” ertinya barangan berbahaya sama ada dalam bentuk dibungkus, dikontenakan atau diangkut secara pukal, dan termasuklah barangan yang diklasifikasikan oleh Suruhanjaya mengikut kumpulan yang dinyatakan dalam Jadual C kepada Undang-Undang Kecil Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1957 [L.N. (N.S.) 93/1957] dan mematuhi Kod BBMA dan penyiaran PMA lain yang berkaitan yang dipinda dari semasa ke semasa dan diguna pakai oleh Suruhanjaya;

“bungkusan” termasuklah apa-apa kotak, bakul, tong, bekas, peti, guni, beg, pembalut, sampul atau penutup atau benda lain yang di dalamnya apa-apa kargo ditempatkan bagi maksud untuk dibawa, dikonsain, diangkut, diimport atau dieksport;

“dermaga Suruhanjaya” ertinya sesuatu himpitan, dermaga, dok, tambangan atau tempat pendaratan yang dikendalikan atau dikawal oleh Suruhanjaya;

“hari” berhubung dengan sesuatu transaksi, ertinya tempoh selama dua puluh empat jam dari masa permulaan transaksi itu dengan Suruhanjaya;

“himpitan” ertinya sesuatu dok, tambangan, jeti, bagan, tempat pendaratan atau dermaga yang bersambung dengan pesisir bahagian pantai;

“kargo pindah kapal” ertinya kargo yang didaratkan dari suatu vesel dan ditempatkan dalam jagaan Suruhanjaya bagi maksud pengiriman di atas suatu vesel lain melalui bil muatan yang ditarikhkan di pelabuhan yang kargo itu dimuatkan dan yang menunjukkan bahawa destinasinya adalah melalui Pelabuhan Pulau Pinang, dan destinasi pelabuhan terakhir yang hendaklah suatu pelabuhan selain Pelabuhan Pulau Pinang ditandakan pada setiap bungkusan atau unit yang mengandungi kargo itu dan diisytiharkan kepada Suruhanjaya sebelum atau pada masa kargo itu diletakkan dalam jagaan Suruhanjaya;

“kargo yang dipaletkan” ertinya kargo dalam bungkusan atau unit kecil yang telah dibalut, diikat, atau dibalut dan diikat bersama dan ditempatkan di atas suatu palet;

“kargo yang diunitkan” ertinya kargo dalam bungkusan atau unit kecil yang telah dibalut, diikat, atau dibalut dan diikat bersama sebagai suatu unit tunggal;

“KMK” ertinya Kontena Muatan Kurang yang diisytiharkan oleh syarikat perkapalan atau ejennya dalam manifes, senarai pemunggahan kontena, senarai muatan atau penyata terdahulu eksport, yang dikemukakan kepada Suruhanjaya sebelum pemunggahan atau pemuatan sesuatu kargo ke atas sesuatu vesel;

“KMP” ertinya Kontena Muatan Penuh yang diisytiharkan oleh syarikat perkapalan atau ejennya dalam manifes, senarai pemunggahan kontena, senarai muatan atau penyata terdahulu eksport, yang dikemukakan kepada Suruhanjaya sebelum pemunggahan atau pemuatan sesuatu kargo ke atas sesuatu vesel;

“Kod BBMA” ertinya Kod Barangan Berbahaya Maritim Antarabangsa yang disiarkan oleh PMA;

“Pengurus” ertinya mana-mana pegawai yang menjaga operasi pelabuhan masing-masing atau mana-mana pegawai lain yang bertindak di bawah atau dengan kuasa pegawai yang menjaga;

“PK” ertinya panjang keseluruhan sesuatu vesel yang diukur dari titik paling hadapan vesel itu ke titik paling belakang vesel itu;

“PMA” ertinya Pertubuhan Maritim Antarabangsa;

“premis Suruhanjaya” termasuklah mana-mana tempat yang dimiliki atau diduduki oleh Suruhanjaya dan diuntukkan oleh Suruhanjaya bagi pendaratan dan pengapalan apa-apa kargo, termasuk mana-mana bahagian tebing sungai yang dimiliki atau diduduki sedemikian yang telah diperbaiki untuk memudahkan pendaratan dan pengapalan itu dan mana-mana pesisir depan yang dimiliki atau diduduki sedemikian dan digunakan bagi maksud sedemikian;

“SBK” ertinya Stesen Barangan Kontena di dalam premis Suruhanjaya;

“simpanan percuma” ertinya tempoh yang dinyatakan yang sesuatu kargo atau kontena memenuhi ruang yang diberikan kepadanya di dalam premis Suruhanjaya tanpa caj penyimpanan;

“syif” ertinya tiga waktu bekerja yang berulang-ulang dalam satu hari seperti yang berikut:

(a) syif pertama: dari pukul 0730 sehingga pukul 1530 pada hari yang sama;
(b) syif kedua: dari pukul 1530 sehingga pukul 2330 pada hari yang sama; dan
(c) syif ketiga: dari pukul 2330 sehingga pukul 0730 pada hari berikutnya;

“Tahun Pertama” ertinya tarikh bermula 9 September 2021 sehingga hari terakhir pada 8 September 2022;

“Tahun Kedua” ertinya tarikh bermula satu hari selepas Tahun Pertama sehingga hari terakhir dua belas bulan berikutnya;

“Tahun Ketiga” ertinya tarikh bermula satu hari selepas Tahun Kedua sehingga hari terakhir dua belas bulan berikutnya;

“Tahun Keempat” ertinya tarikh bermula satu hari selepas Tahun Ketiga sehingga hari terakhir dua belas bulan berikutnya;

“Tahun Kelima” ertinya tarikh bermula satu hari selepas Tahun Keempat sehingga hari terakhir dua belas bulan berikutnya;

“tan” ertinya satu tan metrik yang bersamaan dengan satu ribu kilogram atau satu meter padu; dan

“TK” ertinya tanan kasar yang didaftarkan bagi sesuatu vesel yang diukur mengikut Konvensyen Antarabangsa Pengiraan Tanan Kapal 1969.

NOTIS PEMUNGGAHAN ATAU PEMUATAN KARGO

  1. Seseorang pemilik, nakhoda atau ejen sesuatu vesel hendaklah memberikan notis bertulis kepada Pengurus tentang niatnya untuk memunggah atau memuat apa-apa kargo sebelum kerja pemunggahan atau pemuatan itu dimulakan.

  2. Sesuatu kargo yang dipunggah tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran Pengurus tidak disifatkan berada dalam jagaan Suruhanjaya dan Suruhanjaya tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan pada kargo itu.

MENYIMPAN KARGO UNTUK PENGIRIMAN

Sesuatu kargo tidak boleh disimpan di dalam premis Suruhanjaya tanpa kebenaran bertulis Pengurus.

CAJ TERKURANG

Suruhanjaya berhak untuk memungut apa-apa amaun caj yang ditentukan sebagai terkurang caj atau yang selainnya didapati kena dibayar.

CAJ BERLEBIHAN

  1. Seseorang pengguna pelabuhan berhak untuk mendapatkan bayaran balik apa-apa caj berlebihan jika suatu tuntutan bagi bayaran balik dikemukakan secara bertulis kepada Suruhanjaya dalam tempoh enam bulan dari tarikh bil penyerahan, bil pengiriman atau apa-apa bil lain yang dikeluarkan kepada pengguna pelabuhan itu.
  2. Seseorang pengguna pelabuhan yang menuntut bayaran balik apa-apa caj berlebihan hendaklah memberikan maklumat penuh yang disokong dengan apa-apa bukti berdokumen yang lain sebagaimana yang dikehendaki oleh Suruhanjaya.
  3. Jika apa-apa barangan telah diukur atau ditimbang oleh Suruhanjaya dan dipersetujui oleh Suruhanjaya dan pengguna pelabuhan itu, tiada tuntutan untuk mendapatkan bayaran balik boleh diterima oleh Suruhanjaya.

PEMBAYARAN CAJ

  1. Apa-apa pembayaran caj hendaklah dibayar secara tunai melainkan jika seseorang pengguna pelabuhan mempunyai akaun kredit dengan Suruhanjaya.
  2. Jika kemudahan kredit disediakan oleh Suruhanjaya kepada seseorang pengguna pelabuhan, akaun kredit berkenaan dengan kemudahan kredit itu hendaklah dijelaskan dalam tempoh kredit yang dibenarkan, jika tidak, penggunaan seterusnya kemudahan itu tidak akan diberikan sehingga semua caj tertunggak dibayar.
  3. Suruhanjaya boleh, mengikut budi bicaranya sendiri, menganggar dan memungut terlebih dahulu semua caj yang mungkin terakru terhadap mana-mana pengguna pelabuhan.

TANAN BERCAJ

  1. Suruhanjaya hendaklah menentukan tanan kargo mengikut satu tan atau satu meter padu, mengikut mana-mana yang lebih besar.
  2. Suruhanjaya boleh mengira tanan kargo mengikut berat muatan atau ukuran padu, mengikut mana-mana yang lebih besar, sama ada manifes vesel atau nota perkapalan diberikan ataupun tidak.
  3. Dalam hal kargo muatan berat melebihi lima tan bagi setiap bungkusan, caj pengendalian dermaga hendaklah berasaskan berat muatan.

KADAR KARGO PINDAH KAPAL

  1. Tertakluk kepada kelulusan Pengurus, sesuatu kargo atau kontena boleh dikenakan kadar kargo pindah kapal jika kargo atau kontena itu memenuhi syarat yang berikut:
    1. kargo atau kontena pindah kapal hendaklah diisytiharkan untuk dipindahkan kapal di Pelabuhan Pulau Pinang sekurang-kurangnya dua belas jam sebelum ketibaan vesel yang memunggah;
    2. kargo atau kontena pindah kapal hendaklah dipunggah oleh vesel yang memunggah ke atas dermaga Suruhanjaya dan berada dalam jagaan Suruhanjaya sehinggalah kargo atau kontena pindah kapal itu dipindahkan kapal; dan
    3. kargo atau kontena pindah kapal hendaklah dikapalkan semula oleh Suruhanjaya melalui vesel yang lain di dermaga Suruhanjaya.
  2. Kadar kargo pindah kapal terpakai hanya bagi kargo atau kontena yang didaratkan dari vesel yang berukuran PK yang melebihi dua ratus lima puluh meter dan dikapalkan semula melalui vesel berukuran PK melebihi dua ratus lima puluh meter.
  3. Kadar kargo pindah kapal tidak terpakai bagi barangan berbahaya di bawah Kumpulan 1, 2 atau 3 Jadual C kepada Undang-Undang Kecil Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1957 dan kenderaan.

KADAR KARGO YANG DIPALETKAN ATAU DIUNITKAN

  1. Sesuatu kargo import atau eksport boleh dikenakan kadar kargo yang dipaletkan atau diunitkan jika kargo import atau eksport itu memenuhi syarat yang berikut:
    1. berat atau isi padu bagi setiap kargo yang dipaletkan atau diunitkan tidak melebihi dua setengah tan atau tidak melebihi ukuran empat meter padu bagi setiap unit yang dipaletkan atau diunitkan;
    2. kargo hendaklah dimanifeskan dan manifes itu hendaklah diendorskan dengan sewajarnya di pelabuhan kargo itu dimuatkan sebagai telah dipaletkan atau diunitkan dan dokumen import atau eksport hendaklah diendorskan dengan cara yang sama; dan
    3. kargo yang dipaletkan atau diunitkan itu hendaklah dipunggah atau dimuatkan sebagai satu unit dengan menggunakan trak foklif.
  2. Mana-mana kargo lain yang tidak ditakrifkan sebagai kargo yang dipaletkan atau diunitkan di bawah Skala Kadar ini boleh diklasifikasikan sebagai kargo tercerai oleh Pengurus dan tertakluk kepada surcaj sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya.

CAJ PENYIMPANAN

  1. Bagi maksud caj penyimpanan, hari Ahad dan semua hari kelepasan am di Negeri Pulau Pinang hendaklah dimasukkan dalam pengiraan caj penyimpanan.
  2. Tempoh penyimpanan bagi kargo atau kontena import hendaklah dikira dari tarikh kemasukan dan masa pemunggahan kargo atau kontena import itu sehingga masa kargo atau kontena import itu dikeluarkan dari premis Suruhanjaya.
  3. Tempoh penyimpanan bagi kargo atau kontena eksport hendaklah dikira dari tarikh kemasukan dan masa penerimaan kargo atau kontena eksport itu sehingga masa sebenar penghimpitan vesel yang di atasnya kargo atau kontena eksport itu akan dimuatkan.
  4. Tempoh penyimpanan bagi kargo atau kontena pindah kapal hendaklah dikira dari tarikh kemasukan dan masa pemunggahan kargo atau kontena pindah kapal itu sehingga masa sebenar penghimpitan vesel penyambung.
  5. Caj penyimpanan hendaklah dikira selepas habis tempoh penyimpanan percuma.
  6. Kadar penyimpanan jangka panjang boleh diberikan mengikut budi bicara dan kelulusan Pengurus apabila menerima permohonan bagi kadar penyimpanan jangka panjang.
  7. Jika tarpal digunakan untuk melindungi kargo yang disimpan dalam tempat simpanan terbuka, caj penyimpanan hendaklah dikenakan pada kadar gudang.
  8. Senjata dan peluru tidak boleh diterima untuk penyimpanan oleh Suruhanjaya.
  9. Dalam hal kargo muatan berat melebihi lima tan, caj penyimpanan hendaklah berasaskan berat atau ukuran, mengikut mana-mana yang lebih besar.
PAUTAN KE BANK
bank cimb   bank maybank   bank publicbank  bank ambank
QR code
click

QR Code

QR code

Scan this QR Code using your smartphone

 Aras 2, Swettenham Pier Cruise Terminal, No.1A, Pesara King Edward
10300 George Town, Pulau Pinang.

604.263.3211 | 604.262.6211 |  sppp[at]penangport[dot]gov[dot]my
Ikuti Kami
icon facebook2  icon twitter  icon instagram3  icon 5s